Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa bermain 10 orang menentang Sanfrecce Hiroshima dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berikutan kad merah yang dilayangkan kepada pertahanan, Jonathan Silva, pada minit ke-15 separuh masa pertama di Hiroshima, sebentar tadi.
Harimau Selatan menerima tekanan hebat apabila kehilangan tonggak penting bagi mengharungi baki perlawanan bertemu jaguh Jepun itu.
Advertisement
Pemain import itu dibuang padang selepas menghalang gawang menggunakan tangan menahan bola, sekali gus dihukum oleh pengadil dari China, Ma Ning.
Wakil Liga Super Malaysia itu kemudiannya dihukum dengan sepakan penalti menyaksikan kedudukan terikat 1-1.
Peristiwa itu mengingatkan tentang tindakan bekas pemain Barcelona dan Liverpool, Luis Suarez, yang menggunakan tangan menyelamatkan gol daripada dibolosi Ghana, namun tetap dihukum dengan kad merah dalam Piala Dunia 2010.
Terdahulu, Marcos Guilherme, membuka tirai jaringan pada awal permainan.
Dan, aksi semakin hangat apabila Bergson Da Silva dan jurulatih, Xisco Munoz, turut dilayangkan kad kuning pada minit ke-23.