Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya mencatat kemenangan pertama musim ini dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) selepas menewaskan Pohang Steelers 2-0 di laman lawan.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan meraih kemenangan ketiga di gelanggang lawan dalam kejohanan berkenaan, selepas turut menundukkan Chengdu dan Central Coast Mariners pada 2025.
Skuad kendalian Xisco Muñoz mempamerkan aksi meyakinkan untuk membawa pulang tiga mata, sekali gus menamatkan cabaran Pohang yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak pertama.
Tuan rumah terlebih dahulu mengancam seawal minit ketiga menerusi situasi sepakan sudut, namun penjaga gol JDT, Syihan Hazmi, tangkas mengawal keadaan bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi.
JDT kemudian mula memberi tindak balas dan berpeluang membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Shahab Zahedi, tetapi percubaannya tersasar.
Penyerang itu sekali lagi hampir memecah kebuntuan beberapa minit kemudian, namun percubaannya hanya menggegarkan palang gol Pohang.
Tekanan berterusan Zahedi turut membawa kesan apabila kapten Pohang, Jeon Min-gwang, dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain berkenaan ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum rehat.
Bagaimanapun, sepakan percuma susulan insiden itu gagal dimanfaatkan JDT, menyaksikan kedua-dua pasukan menuju bilik persalinan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengekalkan momentum dan akhirnya menemui sentuhan penyudah menerusi Marcos Guilherme untuk meletakkan pelawat di hadapan.
Guilherme kemudian memastikan kemenangan Harimau Selatan apabila sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring, dengan gol kedua hadir ketika perlawanan berbaki tiga minit sebelum wisel penamat.
Pohang cuba mencari gol bagi menghidupkan semula peluang mereka, namun pertahanan JDT kekal ampuh untuk memastikan kemenangan 2-0 menjadi milik wakil Malaysia itu.
Keputusan berkenaan menyaksikan Pohang mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan ACL Elit musim ini, selepas turut tewas kepada Beijing Guoan bulan lalu.
Bagi JDT, kemenangan di Korea Selatan itu menjadi suntikan penting untuk meneruskan kempen di pentas Asia, selain membuktikan keupayaan Harimau Selatan bersaing di gelanggang lawan.