Misi meraih tiga mata penuh tersasar buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila tidak berjaya menewaskan Shanghai Port dalam perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.
Harimau Selatan terlepas peluang untuk memperbaiki kedudukan, sekali gus menempah laluan berliku bagi terus menghidupkan misi ke pusingan seterusnya.
Advertisement
Ketika ini, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu berada di tempat keenam sambil berkongsi lapan mata dengan empat pasukan lain.
Skuad kendalian Xisco Munoz itu memiliki pelbagai peluang keemasan untuk mencipta kemenangan, namun sentuhan penyudah kurang berkesan sekali gus terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 di tempat sendiri.
Pihak lawan atau juara liga China itu menghembus nafas lega dengan kehebatan penjaga golnya, Chen Wei, yang banyak melakukan penyelamatan penting sepanjang permainan.
𝗙𝗧 | 🇲🇾 JDT 0️⃣-0️⃣ Shanghai Port FC 🇨🇳
A night of chances for JDT, but none falling their way as Shanghai Port absorb everything and leave with a point!#ACLElite | #JDTvSHP pic.twitter.com/AdxBHFuEjv— #ACLElite | #ACLTwo (@TheAFCCL) December 9, 2025
Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gawang Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed, tatkala menepis percubaan berbahaya Shanghai Port pada separuh masa pertama.
Serangan demi serangan dilancarkan JDT, tetapi menemui jalan buntu.
Berbaki dua lagi aksi, JDT akan bertemu Sanfrecce Hiroshima di tempat lawan, dan menanti di SSI jaguh terkemuka Jepun iaitu Vissel Kobe pada tahun hadapan.