Pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, menyifatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang beraksi di laman sendiri tatkala melayani kunjungan Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 Rabu ini.
Bekas pertahanan kebangsaan itu itu menjelaskan skuad Harimau Selatan berdepan dengan misi mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Hiroshima bagi aksi timbal balik 11 Mac depan.
Advertisement
Dia percaya kehadiran penyokong setia tuan rumah yang akan membanjiri Stadium Sultan Ibrahim (SSI) turut memainkan peranan besar bagi menyuntik tonik tambahan buat anak buah Xisco Munoz merealisasikan misi layak ke suku akhir buat julung kalinya.
Untuk rekod, musim lalu perjalanan JDT di ACLE terhenti di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada musuh serantau Buriram United dengan agregat 0-1.
"Untuk memperkatakan apa yang berlaku buat pasukan JDT sebenarnya peluang besar, peluang yang perlu diambil kira daripada aspek jaringan yang akan ditentukan dalam aksi kedua nanti di tempat lawan.
"Kebergantungan kepada perlawanan pertama tentukan nasib JDT sebenarnya, kerana sokongan penyokong JDT diperlukan.
"Kekuatan dengan stadium penuh sebelum ini memberikan peransang buat JDT keluar beraksi dan menang.
"Untungnya aksi pertama berlangsung di JDT, Jadi saya harapkan penyusunan pemain yang terbaik. Sedikit rancangan taktikal raih gol dan kemenangan akan bantu JDT nanti." katanya.