Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, berkata pasukannya sepatutnya menang selepas terikat 1-1 dengan juara Liga Premier Hong Kong, Kitchee SC, dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Taha Ariffin malam tadi.
Pengendali kelahiran Singapura itu akui pasukannya mampu meraih keputusan lebih baik berdasarkan deretan peluang jaringan tetapi ketumpulan penyudah menjadi penghalang utama buat The Cats melakar kemenangan pertama dalam kempen itu.
"Saya menghormati lawan tetapi apa yang penting, yang menonton perlawanan ini, lihatlah betapa banyak kami melakukan percubaan, memberikan tekanan dan menjaringkan gol," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Dalam bola sepak, apabila anda tidak menjaringkan gol, anda tidak menang. Ia bukan soal cara bertahan lawan, anda perlu lebih tajam dalam melakukan serangan.
"Harap-harap dengan perjalanan kami ketika ini, pemain dapat belajar dan menjadi lebih baik.
"Saya dapat lihat kami semakin baik daripada segi prestasi."