Pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, menyifatkan Kuching City kini berdepan misi wajib menang tatkala melayani kunjungan kelab dari Korea Selatan, Gangwon, dalam aksi keempat Kumpulan H, Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
Baginya, tiada pilihan buat 'The Cats' selain meraih tiga mata jika berhasrat untuk kekal dalam perebutan kelompok dua pasukan teratas bagi melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Tambah Asmawi, tekanan kini memihak Kuching City selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.
Bagaimanapun, dia percaya, pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak, sudah menyediakan perancangan rapi bagi merealisasikan misi tiga mata sulung itu dalam kempen ACL2 musim ini.
"Kuching City mungkin akan berdepan tekanan sebagai pasukan tuan rumah," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Tiga perlawanan, dua jaringan dan empat bolos tidak menggambarkan bahawa Kuching City mempunyai kekuatan daripada segi serangan dan pertahanan.
"Kalau kita lihat kepada susunan pemain yang dimiliki Kuching City, mereka lengkap di semua posisi tetapi mereka mungkin kekurangan penjaring gol.
"Ketiadaan ayam tambatan, Ronald Ngah Wanja, mungkin menjadi satu isu kehilangan pemain di bahagian serangan.
"Peluang untuk menang ada tetapi mereka perlu berusaha keras kerana rekod pertemuan pertama memihak pasukan lawan."
Untuk rekod, , Kuching City menghuni kedudukan tercorot Kumpulan H dengan satu mata daripada satu keputusan seri dan dua kekalahan selepas tiga perlawanan ACL2.