Permata baru skuad berbasikal trek negara, Nur Alyssa Mohd Farid, teruja berguru bersama tonggak utama negara diterajui Datuk Azizulhasni Awang di Melbourne, Australia.
Skuad negara dijadualkan berlepas ke Australia pada 21 Februari depan bagi mejalani kem latihan intensif sebagai persediaan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Manila, Filipina, bulan depan.
Advertisement
Bakat dan potensi Nur Alyssa menarik perhatian ketua jurulatih negara, Harnizam Basri, untuk mengasah dan menggilap Alyssa ke satu tahap yang lebih tinggi.
Pelumba dari Muar, Johor itu baru berlatih selama dua bulan bersama skuad utama negara dan atas dasar itu, kem latihan di Australia bakal menjadi kayu pengukur kemampuan sebenar Alyssa di peringkat elit.
Dalam masa sama, keterujaan Alyssa semakin tinggi apabila penukaran basikal baru dijangka mencetus impak maksima bagi menempuhi musim 2026.
"Saya belum membiasakan diri sepenuhnya atas trek, tetapi kerap memperbaiki posisi.
"Basikal ini lebih ringan. Ia, bagus untuk menyertai kejohanan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
Alyssa membuka kempen tahun baru dengan menimbulkan sensasi apabila meraih pingat emas keirin elit dalam Kejohanan Siri Trek ASEAN 1 di Velodrome Nasional, awal bulan lalu.
"Kami tidak pernah berada dalam satu kem latihan.
"Saya tidak tahu cara mereka bagaimana. Saya ingin menimba ilmu demi meningkat prestasi.
"Saya boleh bagi yang terbaik berbanding dahulu," tambahnya.