Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Abu Jimi Samat, mengesahkan tiada rombakan besar-besaran dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan bagi musim 2026.
Dia turut menjelaskan pihak Pengurusan Tertinggi Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berpuas hati dengan prestasi ditampilkan barisan jurulatih diketuai Ahmad Jais Baharun, yang menyaksikan Malaysia meraih dua pingat emas di temasya Sukan SEA hailand 2025, sekali gus menamatkan penantian 34 tahun dalam acara regu berpasukan lelaki.
Advertisement
Dia juga memaklumkan PSM kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan kebenaran pelepasan majikan jurulatih apit kiri, Zulkarnain Arif.
Untuk rekod, Zulkarnain yang juga merupakan kakitangan Universiti Malaya telah menyertai barisan kejurulatihan skuad negara sejak mac 2023.
"Sebenarnya kami mengekalkan hampir semua jurulatih dikekalkan, cuma kemungkinan berlaku beberapa perubahan kerana masalah teknikal.
"Mungkin masalah kerjaya, contohnya jurulatih Abu yang bertugas di UM. Kami belum dapat pelepasan untuk dia bertugas dengan skuad kebangsaan, terima kasih UM beri kebebasan.
"Jika perkara itu tidak dapat diselesaikan, kami ada 'Plan B' untuk tempat kosong jurulatih Abu," katanya.
Dalam pada itu, Abu Jimi turut memberikan bayangan PSM sedia untuk melantik seorang jurulatih asing yang akan bertindak selaku konsultan bagi memantapkan skuad wanita negara.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati, cuma untuk bagi kategori Wanita kerana dalam Sukan SEA, nampaknya kami perlu tekankan aspek asas terlebih dahulu." tambahnya.