Kontinjen negeri Selangor mencipta sejarah dinobat sebagai juara keseluruhan Para SUKMA Selangor 2026 selepas mengumpul keseluruhan 93 pingat emas, 55 pingat perak dan 52 pingat gangsa, sekaligus muncul juara berganda selepas turut muncul juara keseluruhan SUKMA XXII Selangor bulan lalu dengan 101 pingat emas.
Kontinjen tuan rumah mengatasi saingan hebat yang dipamerkan oleh kontinjen negeri Sabah sejak hari pertama saingan bermula, dengan negeri di bawah bayu itu muncul sebagai naib juara keseluruhan mengumpul 69 pingat emas, 51 pingat perak dan 45 pingat gangsa.
Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Sarawak (52 emas, 32 perak dan 54 gangsa). Pada malam majlis penutupan Para SUKMA Selangor yang diadakan di Selangor International Trade Centre (SITC), kegembiraan kontinjen Selangor lebih berganda apabila Atlet Para Lelaki Terbaik Para SUKMA Selangor 2026 menjadi milik perenang para Selangor Muhammad Safwan Suhaimi, 20 tahun yang memecahkan dua rekod kebangsaan dan memenangi enam emas dan satu gangsa.
Safwan memperbaharui dua rekod kebangsaan dalam acara 100 meter Gaya Kuak Kupu-kupu S9 dan 200 meter Rampaian Individu SM9/SM10. Beliau turut memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 100 meter Gaya Kuak Lentang S9.
Emas lain dimenangi dalam acara 100 meter Gaya Kuak Dada S9, 4x100 meter Gaya Bebas 34 mata- Campuran dan -2- 4x100 meter Rampaian 34 mata – Campuran, manakala pingat gangsa dalam acara 4x100 meter Rampaian 34 mata – lelaki.
Gelaran Atlet Para Wanita Para SUKMA Selangor 2026 pula menjadi milik atlet para olahraga dari Sarawak Noshazwani Maisara Marzuki yang meleburkan dua rekod kejohanan iaitu Merejam Lembing F37 dan Lontar Peluru F37 dengan dua pingat emas dan satu pingat perak.
Noshazwani, 22 tahun mencatatkan jarak 8.93m Lontar Peluru F37, meleburkan rekod lama 7.25m. Catatan jarak itu juga meletakkannya di kedudukan 10 terbaik dunia di peringkat Paralimpik.
Pingat perak dimenangi Noshazwani Maisara dalam acara Lempar Cakera F 37. Kedua-dua atlet Para lelaki dan Para wanita terbaik Para SUKMA Selangor 2026 dipilih sebulat suara oleh Jawatankuasa Pemilihan Atlet Terbaik Temasya Para SUKMA Selangor 2026 yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Dato’ Mohd Yazid Sairi, Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan Majlis Sukan Negara, Mohd Safursahar Yusof, dan tiga wakil daripada MSN, penganjur dan media.
Para pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala iringan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi.