Prestasi skuad hoki lelaki negara menjadi ukuran susulan perlawanan terakhir menentang Jepun dalam Kelayakan Piala Dunia baru-baru ini dilihat kurang kurang meyakinkan dan menimbulkan kebimbangan di kalangan peminat sukan hoki tanah air meskipun berjaya mara ke Piala Dunia 2026 Ogos ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, mengakui bahawa walaupun kejayaan layak ke Piala Dunia merupakan satu pencapaian penting, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukan negara.
Advertisement
Menurutnya, pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan perlu melakukan penilaian menyeluruh bagi memastikan prestasi The Speedy Tigers dapat ditingkatkan sebelum menghadapi cabaran di pentas dunia.
Tambahnya, fokus utama kini adalah memperkemas strategi permainan, meningkatkan tahap kecergasan pemain serta memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dalam beberapa aksi sebelum ini, bagi mengelak menjadi pasukan belasahan.
"Saya sedikit kecewa kerana ranking jatuh di tempat ke-15.
"Sejak sembilan tahun saya memegang tampuk kepimpinan MHC, ini adalah kedudukan teruk.
"Tetapi, beratus negara bermain hoki dan berada di tempat ke-15 juga tidak mudah.
"Kami boleh buat lebih baik. Walaupun sudah layak, kami tidak sepatutnya tewas kepada Pakistan dan Jepun.
"Saya berharap barisan kejurulatihan ambil cakna.
"Jika kita selalu tewas kepada Pakistan dan Jepun, kita tidak boleh mendabik dada bahawa kita pasukan kuat Asia.
"Pasukan itu juga menjadi lawan dalam peringkat Asia.