"Kita berada di landasan tepat," kata Pengarah Program Picklespark Selangor, Profesor Madya Dr. Mohamad Rahizam Abdul Rahim.
Program Picklespark, yang memasuki penghujung Fasa 1, menyaksikan penglibatan hampir 500 murid dan 100 guru di Selangor dengan terbahagi kepada lima zon berbeza.
Program pembangunan sukan pickleball itu akan memasuki Fasa 2, yang akan menumpukan kepada kursus kejurulatihan buat semua guru yang terlibat dalam usaha mengembangkan sukan itu di peringkat sekolah sebelum siri kejohanan antara sekolah akan diwujudkan dalam Fasa 3.
Sasarannya sudah pasti untuk melihat pickleball menjadi salah satu sukan yang berada di bawah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dalam masa terdekat.
"Ini langkah pertama kami untuk meyakinkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sukan pickleball dapat dimasukkan ke dalam Takwim MSSM," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Harapan kami ia dapat berlaku mungkin dalam dua tahun ini tetapi sebelum itu, kami perlu memastikan agar murid bukan sahaja bermain pickleball, malah dapat bersaing dalam kejohanan kompetitif.
"Mungkin selepas itu kami dapat memperkukuhkan persatuan negeri yang ada dan seterusnya membawa sukan pickleball ke peringkat Sukma (Sukan Malaysia)."