Skip to main content

Golf

38 pemain sertai NJDP & NADP 2026, golf remaja negara masuk fasa baharu

38 pemain sertai NJDP

Hari kedua program pembangunan golf negara 2026 menyaksikan detik penting apabila barisan pemain Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) dan Program Pembangunan Pemain Amatur Kebangsaan (NADP) diperkenalkan secara rasmi.

Pengumuman ini sekali gus menandakan permulaan perjalanan karier buat barisan pemain muda negara sepanjang musim ini dalam satu sistem pembangunan yang lebih tersusun dan berfokus.

Advertisement

Seramai 38 pemain telah disenaraikan, terdiri daripada 22 pemain lelaki dan 16 pemain wanita.

Daripada jumlah itu, 30 pemain menyertai NJDP manakala lapan di bawah NADP.

Kesemua mereka akan menjalani program selama setahun dengan pemantauan rapi melibatkan prestasi, perkembangan teknikal serta aspek mental permainan.

Bagi pemain NJDP, pelantikan ini bukan sekadar pengiktirafan tetapi langkah awal ke arah karier lebih besar dalam arena golf kompetitif.

Kapten lelaki, Muhammad Adif Haikal dan kapten wanita, Ngo Yi Belle, masing-masing menyifatkan peluang ini sebagai platform terbaik untuk membuktikan kemampuan serta membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pemain NADP seperti Amir Aiman Mohd Fauzi dan Siti Nurfarah Fasha, penyertaan dalam program ini menjadi isyarat jelas untuk melangkah ke tahap elit dan profesional.

Antara fokus utama hari kedua program adalah penggunaan teknologi analisis moden dalam latihan.

Peranti pengesanan data pukulan yang diperkenalkan sejak tahun lalu kini digunakan secara lebih meluas, membolehkan analisis terperinci terhadap aspeka pukulan.

Pendekatan ini membantu jurulatih dan pemain mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki prestasi secara lebih sistematik.

Menurut pengurus pasukan, Stanley Loo, penggunaan teknologi ini penting bagi memastikan pemain Malaysia mampu bersaing dengan kuasa besar golf di Asia.

Program ini turut membuka ruang interaksi antara pemain NJDP dan NADP dengan pemain muda dari Akademi Tanjong Puteri.

Sesi ini memberi pendedahan kepada pemain akademi mengenai standard permainan elit, selain menjadi platform penting untuk, mencungkil bakat baharu, memperbaiki asas permainan dan memperluas peluang pemilihan ke program kebangsaan.

Koordinator teknikal, Jean Daniels, menegaskan pendekatan ini membantu membina ekosistem pembangunan golf yang lebih menyeluruh.

Program NJDP sebelum ini telah melahirkan beberapa pemain berkualiti yang berjaya mencipta pencapaian di peringkat antarabangsa.

Perkembangan ini memberikan keyakinan bahawa barisan 38 pemain baharu mampu meneruskan momentum dan mengangkat nama Malaysia dalam sukan golf.

Pengenalan rasmi pemain NJDP dan NADP 2026 menandakan satu lagi langkah besar dalam pembangunan golf negara.

Dengan gabungan struktur latihan moden, pemantauan berterusan dan sokongan teknologi, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk melahirkan lebih ramai pemain golf bertaraf dunia.

Topik Berkaitan

Must Watch Video