"Ini usaha untuk membuka lebih banyak peluang buat semua atlet kebangsaan"
Itu laungan ketua sekretariat kerjaya dan pendidikan atlet atau Edukasi dan Karier Atlet Malaysia (MACE), Nurehsan Hassan, yang mengesahkan bakal ada pelantikan 16 bekas atlet negara untuk menjadi 'duta kecil' pada masa akan datang.
Advertisement
Dengan misi dan visi yang jelas untuk memberikan pendedahan awal mengenai realiti sebenar kerjaya buat atlet sebagai persediaan menghadapi dunia sejurus berakhirnya karier sukan mereka.
"Di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN), kami sedang melaksanakan transformasi perkhidmatan MACE.
"Kami akan melantik bekas atlet yang pernah memenangi pingat dalam temasya sukan.
"Ia dapat memberi sesuatu kembali kepada komuniti sukan khususnya.
"Ke semuanya telah bersetuju menjadi jurucakap rasmi bagi program MSN akan datang," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, Nurehsan juga berkongsi bahawa barisan 16 nama yang akan menjadi jurucakap MACE bakal diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam masa terdekat.
(upsot: nurehsan hassan / ketua sekretariat kerjaya & pendidikan atlet)
"Saya harap dengan pelantikan ini, atlet sedia ada akan menerima manfaat secara keseluruhan.
"Kami akan menyokong daripada peringkat bawah sehingga tamat kerjaya. Kami tidak mahu segala persiapan terganggu melibatkan atlet tersebut," tambahnya.