Dunia olahraga wanita memasuki fasa baharu apabila garis panduan penyiaran yang melarang 13 sudut kamera tertentu mula dikuatkuasakan pada Kejohanan Olahraga Eropah di Birmingham.
Garis panduan baharu itu diperkenalkan Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) bersama European Athletics bagi memastikan atlet wanita tidak dieksploitasi atau digambarkan secara seksual ketika pertandingan disiarkan kepada penonton.
Menerusi panduan bertajuk 'Raising the Bar: Guidelines for Respectful Media Coverage in Women’s Athletics', penyiar digalakkan menggunakan sudut kamera yang lebih profesional dan memfokuskan aspek sukan, bukannya tubuh badan atlet.
Antara teknik yang diberi perhatian ialah larangan terhadap rakaman yang terlalu lama pada bahagian tubuh tertentu, penggunaan kamera dari sudut rendah yang boleh menghasilkan pandangan mendedahkan serta rakaman gerak perlahan berlebihan yang tidak mempunyai nilai teknikal atau penceritaan.
Sebaliknya, penyiar disarankan menggunakan sudut yang lebih luas dan rakaman dari bahagian pinggang ke atas apabila sesuai.
Perubahan itu dapat dilihat sejak kejohanan bermula pada 10 Ogos, termasuk rakaman atlet wanita yang lebih banyak memfokuskan pergerakan dan aksi mereka berbanding bahagian tubuh tertentu.
Walaupun garis panduan itu menerima reaksi bercampur dalam kalangan pengguna media sosial, beberapa atlet wanita menyambut baik langkah tersebut.
Pelari pecut Britain, Amy Hunt, antara yang menyokong perubahan berkenaan.
“Ia perubahan yang sangat dialu-alukan kerana kita akhirnya boleh memberi tumpuan kepada sukan.
“Kita tidak sepatutnya perlu mengubah apa yang kita pakai untuk berasa selesa. Saya mahu berasa pantas dan berkuasa.”
Atlet lompat galah Britain, Holly Bradshaw, turut mengakui pernah berdepan penyalahgunaan rakaman pertandingan di media sosial.
Menurutnya, terdapat rakaman gerak perlahan yang menunjukkan atlet dalam posisi dianggap tidak sesuai, sebelum kandungan tersebut digunakan atau disebarkan di media sosial.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah kenyataan bahawa atlet wanita tidak seharusnya dipaksa mengubah pakaian mereka semata-mata untuk mengelakkan perhatian seksual.
Sebaliknya, tanggungjawab turut terletak pada pihak penyiar untuk memastikan teknologi dan sudut rakaman digunakan secara bertanggungjawab.
Glen Killane, Pengarah Eksekutif EBU Sport, berkata seksualisasi atlet wanita melalui pemilihan sudut kamera dan proses penyuntingan masih menjadi isu besar dalam penyiaran sukan.
Beliau menegaskan bahawa rakaman yang terlalu lama pada tubuh, kamera sudut rendah serta tayangan gerak perlahan yang tidak mempunyai tujuan teknikal atau penceritaan antara perkara yang mahu dikurangkan.
Namun, perubahan tersebut tidak terlepas daripada kritikan.
Sebahagian peminat di media sosial berpendapat sudut kamera tradisional diperlukan untuk memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai sesuatu acara.
Ada juga yang mempersoalkan sama ada perubahan itu akan menyebabkan siaran menjadi terlalu terhad atau kurang menarik.
Bagaimanapun, matlamat utama garis panduan tersebut bukan untuk mengurangkan liputan terhadap atlet wanita, sebaliknya memastikan prestasi, teknik dan pencapaian mereka menjadi fokus utama.
Dengan semakin banyak acara wanita mendapat liputan televisyen global, isu berkenaan dijangka terus menjadi perbincangan penting dalam industri penyiaran sukan.
Atlet mahu dinilai kerana prestasi mereka -- bukan kerana bagaimana tubuh mereka kelihatan di skrin.
Garis panduan EBU
Beberapa contoh sudut kamera yang tidak sesuai berdasarkan garis panduan baharu:


