Skip to main content

Renang

11 jam dalam sungai penuh buaya! Andy Donaldson pecah rekod renangan 55km

11 jam dalam sungai penuh buaya! Andy Donaldson pecah rekod renangan 55km

Atlet ultramaraton renang, Andy Donaldson, mencipta aksi luar biasa apabila berjaya menamatkan renangan sejauh 55 kilometer merentasi Sungai Ord, Western Australia, yang terkenal sebagai habitat ribuan buaya air tawar.

Atlet berusia 35 tahun itu mencatat masa 11 jam 51 minit menerusi cabaran 'Dam to Dam Challenge', laluan dari Lake Argyle ke Kununurra di kawasan terpencil East Kimberley.

Lebih menggerunkan, Donaldson memulakan cabaran itu dalam persekitaran yang dihuni kira-kira 5,500 ekor buaya air tawar.

Malah, sebelum dilepaskan ke sungai, seekor buaya air tawar sepanjang kira-kira 2.5 meter dilihat berhampiran kawasan permulaan -- seolah-olah menjadi amaran awal terhadap bahaya yang menantinya.

Namun, Donaldson tidak membiarkan ketakutan menguasai fikiran.

Katanya, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan setiap risiko perlu dinilai dengan teliti.

Donaldson memulakan renangan seawal 5.38 pagi ketika hari masih gelap, sebelum berdepan cabaran suhu yang meningkat sehingga 34 darjah Celsius.

Keadaan menjadi semakin sukar apabila tubuh mula keletihan. Berbeza dengan air laut yang mempunyai daya apungan lebih tinggi, air tawar menyebabkan posisi badannya semakin tenggelam apabila tenaga mula berkurangan.

Selain itu, angin dari arah hadapan serta beberapa bahagian sungai yang hampir tidak mempunyai arus turut menambahkan kesukaran.

Namun, Donaldson kekal tenang dan bergerak secara konsisten dengan bantuan pasukan sokongan yang terdiri daripada pendayung, jurulatih serta pakar sungai.

Lebih mengagumkan, masa 11 jam 51 minit yang dicatat Donaldson memecahkan rekod terdahulu iaitu 16 jam 13 minit, dilakukan Simone Blaser pada 2024.

Ironinya, Blaser turut menjadi sebahagian daripada pasukan sokongan Donaldson dalam percubaan kali ini.

Menjelang 200 meter terakhir, beberapa perenang tempatan turut menyertai Donaldson untuk berenang bersamanya menuju garisan penamat, mencipta detik penuh emosi selepas hampir 12 jam bertarung dengan sungai.

Bagi Donaldson, kejayaan tersebut bukan hasil usaha seorang individu semata-mata.

“Cabaran seperti ini tidak pernah dilakukan seorang diri. Mempunyai orang yang tepat di sekeliling anda membuat segala perbezaan.”

Pencapaian terbaharu itu menambah lagi reputasi Donaldson sebagai antara perenang ultramaraton terbaik dunia.

Donaldson mencipta sejarah sebagai atlet pertama melengkapkan cabaran Oceans Seven pada 2023-- tujuh renangan saluran laut paling mencabar di dunia -- dalam tempoh satu tahun kalendar.

Namun, selepas mengharungi pelbagai cabaran di seluruh dunia, Donaldson menganggap renangan di Sungai Ord ini cukup istimewa.

“Saya pernah berenang di tempat-tempat menakjubkan di seluruh dunia. Tetapi ini adalah renangan paling indah dan istimewa yang pernah saya lakukan.” 

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement