Ziyad perlu kerja keras -- Faizol

Ammar Hakim
Februari 26, 2017 04:55 MYT

"Banyak kerja kena buat," itu reaksi jurulatih Ziyad Zolkefli, Faizol Harun, yang menuntut beberapa perubahan drastik daripada anak buahnya jika dia meletakkan misi ke Sukan SEA Kuala Lumpur dan Kejohanan Olahraga Dunia IPC sebagai sasaran utama tahun ini.

Ekoran cuti panjang selepas cemerlang di Rio tahun lalu, Ziyad kini terpaksa berhadapan dengan rentak latihan yang berat bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk menghadapi kejohanan akan datang.
Faizol pantas menegaskan situasi Ziyad masih di bawah tahap memuaskan, terutama membabitkan berat dan komposisi badannya ketika ini.
"Masih banyak kekurangan kerana baru sahaja kembali menjalani latihan. Beraksi di Terbuka Perak, saya tidak meletakkan sasaran buat dirinya," kata Faizol.
Walaupun menyasarkan perubahan drastik daripada segi fizikal, ia tidak bermaksud sasaran kelayakan Sukan SEA dan Kejohanan Olahraga Dunia IPC, iaitu 17.15 meter, mesti bersifat segera.
Faizol masih menetapkan tempoh sehingga Jun depan untuk Ziyad berada pada kondisi terbaik, sekaligus mencari peluang terbaik bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan mampu dicapai.
Ziyad bakal membuat balingan pertamanya dalam Terbuka Perak di mana dia perlu bersaing dengan atlet normal hujung minggu ini.
"Tidak pernah di dalam sejarah, atlet Paralimpik beraksi dalam Sukan SEA, itu merupakan sasaran saya tahun ini dan berharap ia akan menjadi kenyataan."

;