ARRC
Zaqhwan perlu ungguli ASB 1000cc
Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, perlu menjuarai Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) 2019 bagi kategori ASB 1000cc jika mahu merealisasikan impian kembali beraksi dalam saingan MotoGP musim depan.
Zaqhwan kini menduduki tangga ketiga keseluruhan ARRC tatkala dia hanya dibezakan 35 mata dengan pendahulu keseluruhan daripada pasukan Yamaha Team Racing ASEAN, Broc Parkes.
Berbaki tiga pusingan, pelumba berusia 24 tahun itu optimis mampu mengulangi kejuaraan yang pernah dilakar dalam kejohanan itu pada 2014 dan 2016.
"Insya-Allah, semestinya saya mahu cuba yang terbaik dalam perlumbaan seterusnya. Mungkin semua pelumba tidak pernah berlumba di China, jadi ia peluang untuk saya cuba yang terbaik," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan Honda-Asia Dream Racing, Zulhelmi Ahmad, meluahkan keterujaan dengan prestasi yang dipamerkan Zaqhwan setelah tidak meletakkan sebarang sasaran di peringkat awal.
Dia turut menjelaskan sudah mempunyai rancangan jangka masa panjang buat anak buahnya itu ke saingan MotoGP jika berjaya menjuarai kategori ASB 1000cc pertamanya tahun ini.
"Kami perlukan dia untuk capai sasaran yang ditetapkan. Sebagai contoh di Asia bagi kategori ASB 1000cc, kemudian kejuaraan dunia. Kami dalam perancangan tetapi bukan sahaja melibatkan MotoGP tetapi mungkin Superbike Dunia dan Endurance Dunia," ujar Zulhelmi.