ARRC
Zaqhwan intai kejutan di Jepun
Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi, mahu memastikan kedudukan lima terbaik mampu diraih dalam pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun 2018, minggu depan.
Berbaki lima pusingan lagi, Zaqhwan enggan mengambil mudah setiap perlumbaan bagi memastikan dia dapat mengakhiri perlumbaan di Negara Matahari Terbit itu dengan menempatkan diri dalam ranking 10 terbaik keseluruhan.
Sebelum ini, dia meraih kedudukan ke-20 dalam pusingan keempat yang berlangsung di Sugo, Jun lalu, bagi meletakkannya di ranking ke-18 terbaik setakat ini.
Masih belum menganggap itu keputusan terbaik, bekas pelumba Moto2 itu mengharapkan tuah di Litar Twin Ring Motegi pada Sabtu depan, apatah lagi selepas mendapat tonik baru dengan menduduki tempat kedua podium dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Chennai, India, minggu lalu.
"Saya menyasarkan kedudukan lima pelumba terbaik. Ia bukan mudah memandangkan kesemua pelumba handal-handal belaka.
"Saya cuba membuktikan (sesuatu) sebab orang melihat saya sebagai juara Asia.
"Tetapi, apabila bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun, saya sekadar berada dalam kelompok bawahan," katanya.
Walaupun Kejuaraan Seluruh Jepun menjadi keutamaan, Zaqhwan tetap tidak akan melepaskan peluang untuk menamatkan baki dua pusingan ARRC di kedudukan terbaik, dengan perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Litar Sentul, Indonesia, pada Oktober depan berikutan berada di ranking kelima terbaik setakat ini.
"Kelompok lima pelumba terbaik dilihat masih mampu mencabar gelaran juara keseluruhan.
"Tidak mustahil untuk saya mencubanya.
"Saya harap dapat menang dalam perlumbaan seterusnya," ujarnya.