Skip to main content

Sukan SEA

Zamri, Hariff tidak beraksi di Filipina

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

basikal.jpg
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan tiada kelibat Zamri Salleh dan Hariff Salleh untuk membawa cabaran negara dalam Sukan SEA 2019 hujung tahun ini memandangkan laluan perlumbaan di Filipina tidak memberi kelebihan buat pelumba pecut.

Jurulatih negara, Yusof Abd Nasir, mengakui keputusan itu cukup berat memandangkan dua pelumba itu mempunyai reputasi besar, apatah lagi menyinar bersama Terengganu Cycling Team (TSG) dalam Le Tour De Langkawi (LTdL), April lalu.

Namun, percaturan itu dibuat kerana laluan di Filipina berbukit dengan menawarkan jarak sejauh 160 kilometer dengan kelebihan kepada pendaki untuk setiap pasukan.

“Mereka tahu laluan ini bukan untuk mereka. Sewaktu pemilihan sebelum ini, saya rasa mereka masih relevan untuk mewakili negara dalam kejohanan besar tetapi untuk laluan ini bukan untuk mereka. Ia memerlukan pendakian yang panjang,” katanya.

Dalam edisi lalu di Kuala Lumpur, Hariff menyumbangkan pingat emas menerusi acara kriterium manakala abangnya, Zamri, merangkul gangsa.

Enam pelumba sudah pun dipilih untuk acara berlepas beramai-ramai berdasarkan kejohanan kebangsaan yang berlangsung Jun lalu, namun ia bukan senarai muktamad kerana hanya lima nama akan dipilih ke temasya itu.

Dalam masa sama, Yusof masih cuba untuk menawarkan dua lagi pelumba daripada skuad ujian masa, Nik Azwan Zulkifli dan Muhammad Zawawi Azman, namun masih memerlukan lampu hijau daripada jurulatih, Mohd Akmal Amrun.

“Semasa saya lihat Sukan SEA sebelum ini, Nik Azwan dan Zawawi merupakan antara yang menyinar bagi laluan berbukit. Mereka sudah disenaraikan tetapi kami akan tetap pantau,” tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video