HOKI

Zaimi, Ashran terima panggilan sulung

Shaiful Shamsudin 18/09/2017 | 11:51 MYT
Kejayaan layak ke Piala Dunia 2018 memberikan peluang buat ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, memanggil pemain muda, Muhammad Zaimi Mat Deris dan Mohd Ashran Hamsani, untuk menyertai hari pertama latihan kem kebangsaan menjelang kempen Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, bulan depan.
Zaimi dan Ashran adalah antara dua muka baru yang dipanggil ke Bukit Jalil selepas Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Tekanan kurang dirasai kerana Malaysia sudah menempah tiket awal ke Piala Dunia 2018 lalu memberi ruang untuk Van Huizen menilai gandingan pemain muda serta senior ke Dhaka.
"Kami memiliki pemain-pemain utama dan beberapa pemain baru untuk diuji di Dhaka nanti," katanya.
"Saya memiliki peluang 50-50 untuk beraksi di Dhaka. Saya akan cuba memberikan yang terbaik," kata Zaimi.
"Langkah pertama yang saya harus lakukan adalah keperluan menyesuaikan diri dengan gaya permainan hoki padang selepas lebih lima bulan beraksi dalam acara hoki dalam dewan untuk Sukan SEA tempoh hari," kata Ashran.
Skuad penuh yang bakal menyertai kejohanan di Dhaka itu dijangka diumumkan dua minggu lagi yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China dan Oman.
Persekutuan Hoki Asia (AHF) memperkenalkan format baru dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melalui saingan liga sepusingan untuk merebut dua tiket ke final.
Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Asia, dengan pencapaian terbaik menduduki tangga ketiga pada 2007.
;