OLAHRAGA
Zaidatul Husniah galas tugas berat tamat kemarau pingat di pentas Asia
Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, berdepan tugas mencabar untuk menamatkan kemarau pingat di Kejohanan Asia apabila mengetuai 29 atlet negara bersaing di Gumi, Korea Selatan bermula Selasa depan.
Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu tidak pernah meraih pingat di kejohanan bertaraf benua dan akan menyertai acara 100m dan 4x100m.
"Persediaan sekarang berjalan dengan lancar, saya tidak mahu letakkan tekanan pada diri sendiri. Saya mahu ke sana dengan pacutan saya sendiri.
Iklan
"Jika dapat pingat saya bersyukur, saya akan cuba berikan yang terbaik di sana nanti," katanya.
Sementara itu, jaguh lempar cakera negara, muhammad Irfan Shamsuddin, di landasan tepat untuk mengatasi jarak 60 meter seperti dilakukan di Australia, Februari lalu.
Ia merupakan catatan terbaik Irfan musim ini walaupun masih jauh berbanding rekod kebangsaan miliknya iaitu 62.55m.
"Tahun ini saya bersedia, tiada kecederaan dan latihan berjalan lancar. Fokus pada teknik kerana kekuatan sudah ada di situ. Saya sudah ada berpengalaman," ujarnya.
Malah, ketika ditanya mengenai sasaran pingat, Presiden Malaysia Athletics, Datuk Seri Shahidan Kassim, memilih untuk berkongsi keyakinannya terhadap atlet negara dalam mempamerkan prestasi terbaik.
"Sukar untuk beritahu awal memandangkan permainan kata-kata, jika letak matlamat dan tidak tercapai jadi permainan kata-kata agak tinggi.
"Kita ke sana dan bersaing hingga ke final, semua ini sudah ada dalam senarai dengan mereka perlu buat yang terbaik. Kita berikan semangat kepada mereka." tambahnya.
Must-Watch Video