Muhammad Ridwan Sahrom langkah kanan pada hari pertama Kejohanan YSD Track Series 13 dan 14 dengan kemenangan pertama menerusi acara berbasikal trek sprint apabila menewaskan rakan sepasukan, Fadhil Zonis, di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Juara elit pecut itu kini mengumpul mata tertinggi untuk mendahului abangnya, Shah Firdaus Sahrom, yang tidak mengikuti pertandingan edisi ini berikutan bakal menunaikan ibadah umrah, Selasa depan.

Menurutnya, dengan ketiadaan Shah Firdaus maka segala beban dan tanggungjawab untuk memberikan aksi terbaik perlu digalasnya.

"Perlumbaan pertama kurang baik dan kaki saya seakan tidak mahu memberi kerjasama. Jadi apabila ke pusingan seterusnya, saya cuba mengekalkan momentum untuk melangkah ke final.

"Sekarang saya fokus kepada mata individu untuk mencapai ranking keseluruhan tatkala sedang menduduki tempat pertama dan mahu kekal di atas," katanya.