YSD Track Series: Dua pelumba muda Putrajaya dalam radar MSN

Ammar Hakim
September 22, 2024 19:34 MYT
Dua pelumba bawah 15 tahun daripada Persatuan Berbasikal Putrajaya, masing-masing bersedia menggalas tugas bersama skuad pelapis kebangsaan setelah disahkan berada dalam radar untuk diserapkan di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara, hujung tahun ini.
Biarpun masih muda, Intan Nur Umaira Diana, sudah memasang impian berada sepentas dengan jaguh berbasikal trek lain dengan mengidolakan rentak kesungguhan dipamerkan pelumba berbasikal lebuh raya negara, Aisyah Zuber.
Sementara itu, Difa Irdina Fazallah, pula meletakkan Nur Alyssa Mohd Farid serta Nurul Izzah Izzati sebagai tonik ketika bertanding kerana terkesima dengan corak pacuannya yang tampak agresif tanpa menghiraukan kelibat pelumba lain.
Minat terhadap sukan berbasikal trek buat Muhammad Eirzam Eidham Che Mazri, adalah kerana tertarik dengan cara The pocketrocket man, Datuk Azizulhasni Awang, menasihatinya untuk terus mempamerkan konsistensi dalam setiap perlumbaan, serta jangan pernah mengalah.
Berbekalkan semangat luar biasa ditampilkan Azizulhasni, pelumba Perak Cycling Team itu yang berasal dari Terengganu turut memberi isyarat jelas bahawa panggilannya ke MSN menuju penghujung tahun ini adalah pemilihan yang tepat dan bukan hanya omongan kosong.