SUKAN LAIN

Yan Yee tidak akan beraksi di Gold Coast

Penulis Jemputan 26/01/2018 | 12:03 MYT
Setiausaha Kehormat, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, mengesahkan pihaknya masih belum menerima keputusan hukuman penggantungan penerjun negara, Ng Yan
Yee, namun menegaskan atlet terjun negara itu sah tidak akan menyertai Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.
Nama Yan Yee sebelum ini tetap disenaraikan ke Sukan Komanwel Gold Coast walaupun keputusan kes dopingnya belum diputuskan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).
Ia dinyatakan ASUM selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 8 Januari lalu.
Bagaimanapun, Mae hari ini mengesahkan hukuman penggantungan terhadap Yan Yee masih belum diputuskan walaupun kesalahan kes doping membabitkan sibutramine dikatakan berdepan hukuman penggantungan yang tidak begitu lama.
"Yan Yee telah digantung sejak Oktober lagi dan dia tidak akan beraksi dalam Sukan Komanwel nanti," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN) dan ASUM di Bukit Jalil, hari ini.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah mengenai senarai akhir penerjun ke Gold Coast dan sasaran dalam temasya itu.
"Acara renang dalam Sukan Komanwel sangat kompetitif, ramai perenang bertaraf dunia akan turun beraksi dan kami berharap Welson (Sim) mampu layak ke separuh akhir," katanya lagi.
;