WWE Raw: Judgment Day khianati Edge

Hafiz Azwany Taher
Jun 8, 2022 11:57 MYT
Biarpun pasukan Judgment Day cemerlang di acara WWE Hell in A Cell dua hari lalu sehingga berjaya menumpaskan gandingan AJ Styles, Finn Balor dan Liv Morgan, namun ia hanyalah sebuah permulaan kepada sebuah pengakhiran apabila Rhea Ripley dan Damien Priest bertindak membelasah pemimpin mereka Edge di acara Raw semalam.
Terdahulu, Edge dengan penuh rasa bangga memuji kedua protégé-nya itu dan mendakwa ia adalah hasil tunjuk ajar daripadanya yang telah bergelumang selama lebih tiga dekad dalam industri ini. Kini tiba masanya Judgment Day melebar luaskan lagi sayap mereka dengan membawa masuk seorang lagi ahli baharu yang selama ini telah mengintai peluang untuk menyertai kumpulan berhaluan kiri tersebut.
Mengejutkan apabila bekas seteru mereka Finn Balor tiba-tiba muncul dan menuju ke gelanggang. Finn dan Edge saling berjabat tangan dan ketiga-tiganya mengalu-alukan bekas Juara Universal WWE itu menyertai kumpulan mereka. Menurut Finn lagi, dirinya sudah letih bergelut dengan kumpulan tersebut dan berasa terpanggil untuk sama-sama bersekutu dengan Edge, Rhea dan Priest.
Priest kemudian menyambung yang mereka sememangnya mengagumi kepimpinan Edge. Namun terdapat sesuatu yang menjadi batu penghalang kepada kemaraan mereka. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah Edge sendiri.
Tanpa disangka-sangka, ketiga mereka bertindak membelasah ketua mereka itu dan Finn Balor dilihat menjadi dalang utama, seolah-olah menunjukkkan yang Judgment Day kini adalah di bawah kendaliannya selajur mengetepikan Edge daripada tampuk pimpinan.

WHAT JUST HAPPENED?! @FinnBalor @ArcherOfInfamy @RheaRipley_WWE #WWERaw pic.twitter.com/dZrESAOiYh

— WWE (@WWE) June 7, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Apa yang berlaku ini sememangnya amat di luar jangkaan kerana ia dilihat terlalu awal untuk mengesampingkan Edge selaku bintang berhaluan kiri dan hanya menubuhkan kumpulan Judgment Day pasca Wrestlemania pada awal April lalu. Namun ia juga boleh dilihat sebagai usaha WWE untuk kembali menjadikan Edge sebagai bintang suka ramai susulan kecederaan otot pektoral yang membelenggu Cody Rhodes sehingga menyebabkan ayam tambatan utama Raw itu terpaksa berehat sekurang-kurangnya sehingga ke acara Money In The Bank pada bulan hadapan.
Berbicara tentang Rhea Ripley, momentumnya sebagai bintang wanita berhaluan kiri di dalam pasukan Judgment Day memberikannya kelebihan apabila muncul sebagai pemenang perlawanan empat penjuru di acara kemuncak Raw semalam yang turut melibatkan Liv Morgan, Alexa Bliss dan Doudrop. Sebagai habuannya, The Nightmare beroleh kelayakan sebagai pencabar utama Kejuaraan Wanita Raw dan bakal berdepan dengan penyandang juara Bianca Belair di acara WWE Money In The Bank yang bakal berlangsung pada 3 Julai depan.

.@RheaRipley_WWE is going to #MITB!!!#WWERaw pic.twitter.com/gqcKiKWDXd

— WWE (@WWE) June 7, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
(Foto: WWE.com)
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Money In The Bank pada 3 Julai depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
#WWE
;