Skip to main content

Sukan SEA

Wushu: Wai Kin raih emas peribadi kedua

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

yeap-wai-kin-1.jpg
Atlet wushu, Yeap Wai Kin, menghadiahkan emas pertama negara pada hari kelapan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mengungguli acara qiangshu lelaki dalam aksi di Dewan 5, Menara berkembar Petronas (KLCC), sebentar tadi.

Semalam, dia meraih emas bagi kategori jianshu lelaki dan ternyata Wai Kin tidak cepat berpuas hati apabila beraksi cemerlang untuk mencatat 9.68 mata bagi menewaskan pencabar terdekat yang juga rakan senegara, Wong Weng Son, yang mengutip 9.65 mata.

Pingat gangsa menjadi milik peserta Indonesia, Daffa Golden, dengan catatan mata 9.63 mata.

"Saya bergelut dengan kecederaan sejak enam bulan lalu namun saya tetap gembira dengan pencapaian ini apabila fokus untuk memberikan aksi terbaik.

"Saya boleh mengatakan kejayaan ini bukan untuk saya sahaja tetapi ia untuk keluarga, rakan-rakan, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Tanpa mereka, saya tidak boleh melakukannya seorang diri," kata Wai Kin.

"Saya sudah memberi aksi, fokus dan berjuang habis-habisan.

"Yang penting, saya perlu fokus untuk menghadapi pertandingan seterusnya, iaitu Kejohanan Dunia," ujar Weng Son.

Kejayaan Wai Kin dan Weng Son menjadikan jumlah keseluruhan pingat daripada acara wushu setakat ini adalah empat emas dan empat gangsa.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Advertisement

Must Watch Video