KL 2017

Wushu: Jack Chang tebus kehampaan pada 2015

Penulis Jemputan 20/08/2017 | 08:26 MYT
Atlet wushu lelaki negara, Loh Jack Chang, menebus kekecewaan dalam Sukan SEA 2015 apabila berjaya membutirkan pingat emas buat Malaysia bagi acara taijijian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam aksi di Dewan 5, Menara Berkembar Petronas (KLCC), sebentar tadi.
Dua tahun lalu, Jack Chang kempunan untuk membawa pulang emas apabila tewas di tangan wakil Filipina, Daniel Parantac.
Bagaimanapun, beraksi di laman sendiri jelas memberikan semangat buatnya untuk mengutip 9.67 mata, mengatasi dua pencabar terdekat, Bobie Gunawan dari Indonesia (9.65 mata) serta wakil Singapura, Chan Jun Kai (9.62 mata).
Parantac pula terpaksa menelan hakikat bahawa dia sekadar menamatkan saingan di tempat keempat dengan 9.56 mata.
"Saya sangat bangga kerana boleh menyumbang emas kepada negara," kata Jack Chang.
"Tahun ini sukar bagi saya kerana terpaksa berdepan dengan masalah kecederaan.
"Oleh itu, saya perlu berhati-hati terhadap semua aspek, barulah boleh sampai ke tahap seperti hari ini."
Dalam masa sama, juara dunia itu optimis rakan sepasukannya mampu menambah lagi pingat emas buat negara biarpun skuad wushu sudah mencapai sasaran dua emas tatkala acara mereka masih berbaki dua hari lagi.
"Saya percaya kepada rakan sepasukan kerana mereka semua berpotensi untuk menambah medal," katanya.
#Sukan SEA 2017 #Wushu #Daniel Parantac #Loh Jack Chan #Taijijian
;