SUKAN ASIA 2018
Wushu: Jack Chang harapan terakhir negara
Atlet kebangsaan, Loh Jack Chang, menggalas tugas berat sebagai harapan terakhir kem wushu Malaysia untuk meraih pingat Sukan Asia apabila menghuni ranking ke-13 acara taijiquan menjelang aksi taijijian, esok.
Tumpuan skuad wushu negara akan terarah kepada Jack Chang yang memegang status juara dunia 2015 tatkala seorang demi seorang atlet muda negara tumbang, sekali gus gagal meraih sebarang pingat.
Terbaru, Phoon Eyin menduduki tangga keempat acara jianshu/qianshu apabila mengumpul 19.24 mata.
Pemenang perak Sukan SEA Kuala Lumpur itu mengutip 9.68 mata dalam acara qianshu sambil seorang lagi wakil negara, Calvin Lee, pula menghuni tangga ketujuh keseluruhan bagi nanquan/nangun.
"Harapan memang ada, cuma kena tengok persembahan ketika beraksi.
"Ia tidak mudah kerana ada naik turunnya. Sebelum ini, sewaktu sudah memikirkan persaraan, saya sudah lega dan tenang tetapi apabila terpilih untuk ke Sukan Asia, saya perlu melalui latihan semula," kata Jack Chang.