SUKAN ASIA 2018

Wushu: Jack Chang bakal sertai bidang kejurulatihan

Penulis Jemputan 22/08/2018 | 14:10 MYT
Loh Jack Chang merancang untuk menyertai bidang kejurulatihan selepas bersara bulan depan apabila gagal menghadiahkan pingat tunggal skuad wushu negara dalam Sukan Asia Indonesia.
Jack Chang bangkit daripada demam untuk menamatkan cabaran taijiquan-taijijian dengan memungut 19.26 mata, namun ia tidak cukup untuk menghadiahkan pingat untuk negara apabila mengakhiri saingan di tangga ke-10.
Atlet berusia 31 tahun itu mengetepikan masalah kesihatan untuk memburu pingat pada penampilan terakhir dalam temasya ini, namun terpaksa akur dengan kehebatan pemenang emas, Chen Zhouli dari China, perak milik wakil Jepun sementara atlet Myanmar meraih gangsa.
Apa yang pasti, juara dunia 2015 ini akan bersara tanpa sempat meraih pingat dalam Sukan Asia.
"Saya berasa agak kesal.
"Bagi saya, ia permulaan baru dalam kehidupan," katanya.
Kegagalan Jack Chang bermakna kemarau skuad wushu negara meraih pingat Sukan Asia berpanjangan selepas Chai Fong Ying menjuarai taijiquan-taijijian wanita dalam temasya 2010 di Guangzhou, China.
Prestasi di Jakarta menyaksikan Tan Cheong Min dan Phoon Eyin paling hampir apabila meraih tempat keempat acara masing-masing.
"Mereka merupakan bintang dalam ciptaan.
"Acara yang mereka gemari tiada dalam Sukan Asia tetapi dalam Kejohanan Dunia dan Asia, mereka mampu menyerlah," ujarnya lagi.
Skuad negara akan menyertai Kejohanan Dunia Taijijian di Bulgaria bulan depan sebelum Jack Chang mengumumkan persaraan.
;