SUKAN LAIN
Wendy yakin jadi pilihan ASUM
Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, optimis dia bakal mengisi slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk acara 3 meter papan anjal individu meskipun ia belum diputuskan oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).
Slot tersebut diraih atlet kelahiran Kuala Lumpur itu ketika beraksi dalam Kejohanan Terjun Dunia di China, dua bulan lalu tetapi ASUM masih belum memutuskan hak sepenuhnya buat Wendy.
Dia tidak akan beraksi dalam Kejohanan Terjun Piala Asia bermula 6 September ini bagi memberi peluang kepada penerjun lain untuk menambah jumlah wakil ke Tokyo.
Justeru, penerjun berusia 26 tahun itu mahu memanfatkan tempoh masa yang panjang untuk memberi tumpuan dalam sesi latihan menjelang saingan Grand Prix Malaysia yang akan berlangsung seminggu lebih awal sebelum ke Sukan SEA Filipina, November depan.
"Saya jadi lebih yakin kerana Sukan SEA menjadi satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuan, begitu juga sebelum Piala Dunia," katanya.
Dalam masa sama, Wendy turut meluahkan hasrat untuk mengekalkan fokusnya dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam Sukan SEA kali ini.
Sewaktu di Kuala Lumpur dalam edisi dua tahun lalu, dia meraih dua pingat emas melalui acara 3m papan anjal individu dan 3m papan anjal seirama bersama Nur Dhabitah, namun pingat itu ditarik balik ekoran gagal ujian doping.
"Saya lebih fokus kepada acara seirama kerana saingan Piala Dunia tahun depan membolehkan saya layak Olimpik Tokyo memandangkan saya telah mengesahkan tempat dalam kategori papan anjal individu," tambah Wendy.
Sementara itu, seramai 22 atlet kebangsaan dan 17 atlet para negara memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 yang bertemakan "Sayangi Malaysiaku" di Dataran Putrajaya, hari ni apabila menjadi sebahagian daripada kontinjen Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Antara atlet yang terlibat kali ini adalah Wendy, pemain hoki wanita, Fatin Syafika Mat Syukri, dan atlet angkat berat para, Bonnie Bunyau Gustin.
"Sangat gembira dan menyeronokkan. Kami datang awal pagi dan bagus melihat semua orang meraikan Hari Kemerdekaan," ujar Wendy.
"Seronok dapat menyertai perbarisan. Rasa semangat patriotik itu sangat tinggi," tambah Fatin Syafika.