RENANG
Welson Sim pilih tinggalkan skuad renang kebangsaan
Jaguh renang negara, Welson Sim, memilih untuk meninggalkan skuad renang kebangsaan bagi mendapatkan suasana baru dalam program latihannya menjelang temasya sukan dan kejohanan utama yang akan disertainya sepanjang tahun ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia, Mae Chen, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Perenang kelahiran Sarawak itu, yang merupakan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA, mengalami kemerosotan prestasi sejak penghujung 2019 dan ia kelihatan menjadi punca dia memilih untuk bergerak sendiri demi mendapatkan prestasi terbaiknya.
Iklan
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Mae Chen berkata: "Ia satu keputusan yang agak menyedihkan, kami mencuba untuk memujuk Welson agar kekal bersama kami tetapi dia akhirnya memilih keputusan itu kerana berasakan dia sudah berada dalam keadaan 'stagnant'.
"Dia mungkin mahukan program yang berbeza dengan jurulatih yang berbeza yang mungkin dapat membantunya, memacunya dan mungkin menginspirasikannya untuk meningkatkan renangannya
"Jadi, kami menghormati keputusannya dan mendoakan yang terbaik buat latihan dan masa depannya," katanya.
Must-Watch Video