SUKAN LAIN
Welson Sim ketuai 51 atlet Sarawak terima habuan RM557,000
Perenang sensasi negara, Welson Sim Wee Sheng, membawa pulang habuan RM32,000 semalam sebagai insentif di atas kejayaannya memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam Sukan SEA Ke-29 di Kuala Lumpur, Ogos lalu.
Meskipun gagal memperoleh emas, atlet renang para, Mohd Adib Iqbal Abdullah, menjadi atlet yang menerima habuan kedua terbanyak dengan RM29,000 selepas memenangi dua pingat perak dan tiga gangsa.
Turut menerima habuan lumayan ialah atlet para untuk acara renang, Anderson Jamba, yang mencipta dua emas dan satu perak. Kemenangan ini membolehkan Anderson membawa pulang RM27,000.
Iklan
Seorang lagi atlet renang para, Fraidden Dawan, pula memenangi dua emas dan satu gangsa untuk mengutip RM25,000.
Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg dan atlet wushu, Loh Jack Chang, yang masing-masing memenangi dua emas, menerima habuan RM20,000 setiap seorang.
Secara keseluruhan, seramai 51 atlet dari Bumi Kenyalang iaitu 24 atlet Sukan SEA dan 27 atlet Sukan Para ASEAN yang mengutip 81 pingat, termasuk 23 emas, menerima insentif masing-masing, dengan habuan keseluruhan berjumlah RM557,000.
Insentif Kerajan Negeri itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Must-Watch Video