Warga sukan sambut baik kehadiran Hannah Yeoh selaku Menteri Belia dan Sukan
Muzaffar Musa
Disember 3, 2022 20:02 MYT
Disember 3, 2022 20:02 MYT
Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru disambut baik warga sukan tanah air.
Hannah, 43, yang merupakan Ahli Parlimen Segambut, selesai mengangkat sumpah dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara petang tadi.
Dia merupakan individu wanita kedua memegang portfolio berkenaan sejak Datuk Seri Azalina Othman Said memegang jawatan sama dari 2004 hingga 2008.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yakin pelantikan Hannah mampu membawa keajaiban tersendiri sepanjang pentadibirannya.
"Kehadiran YB Hannah Yeoh menunjukkan mungkin akan ada sesuatu yang ajaib yang bakal berlaku," kata Shapawi kepada Nadi Arena.
"Dia merupakan seorang wanita yang kita sudah kenali dengan agak lama, jadi kami berharap dapat memberikan gambaran perkhidmatan yang terbaik kepada sukan dengan bimbingan YB Hannah, Insya-Allah.
"Kami di Majlis Sukan Negara dan komuniti sukan negara, sedia berkhidmat dengan menteri yang berwajah baru dan seorang wanita.
"Jadi, kami memandang ke depan untuk lebih bersemangat dalam memperjuangkan program-program latihan yang lebih berkesan kepada atlet negara dan demi kemajuan sukan negara, Insya-Allah," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Konfedarasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menambah: "Saya memang mengenali YB Hannah Yeoh dan saya yakin dia seorang yang komited dan akan memberikan nafas baru dan anjakan yang positif buat sukan negara.
"Tidak semestinya menteri sukan perlu lelaki tetapi ini merupakan satu pertukaran paradigma yang bagus, yang memberikan satu penghormatan buat kaum wanita.
"Kerana YB Hannah Yeoh selalu dilihat sebagai seorang aktivis wanita tetapi kali ini, dia diberikan satu kementerian yang cukup berlainan -- walaupun ia akan melibatkan wanita juga -- tetapi saya rasa ia daripada satu perspektif yang cukup berbeza," katanya.
YB Hannah Yeoh merupakan individu wanita ke-2 memegang portfolio Menteri Belia & Sukan selepas Datuk Seri Azalina Othman ??? Tahniah YB @hannahyeoh! ???#MenteriKBS #HannahYeoh pic.twitter.com/mnOfwZbEeO
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 3, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.