Wanita maut dalam kemalangan go-kart di Batam

Fatin Ruzaiman
Februari 24, 2024 13:26 MYT
Arini Mohamed Adinan dari Singapura terlibat dalam kemalangan mengerikan ketika menyambut hari jadi ke-33 bersama beberapa lagi rakannya di salah sebuah litar go-kart di Batam Rabu lepas.
Saksi berkongsi mereka melihat Arini memandu di sekitar litar Golden City Go-Kart sebanyak dua pusingan sebelum dia tiba-tiba terbabas.
"Tiada masalah ketika dia melakukan pusingan pertama. Bagaimanapun, kereta go-kart panduannya tiba-tiba merempuh penghadang tayar pada kelajuan tinggi. Tayar bukan masalah utamanya," kata Supritendan Kanan Polis Wilayah Kepulauan Riau, Zahwani Pandra Arsyad.
Zahwani berkata, saksi yang merupakan salah seorang staf yang berkhidmat di situ menghampiri Arini selepas kemalangan itu dan mendapati dia sudah pun tidak menyedarkan diri.
Topi keledarnya tercampak akibat hentakan itu dan dia juga perasan bahawa rambutnya -- yang sangat panjang -- telah terjerat pada salah satu tayar belakang kenderaan itu.
Polis berkata dia dikejarkan ke klinik berhampiran, di mana dia terus disahkan meninggal dunia.
Rakan Arini juga telah membuat kenyataan bahawa kebanyakan kenderaan di situ mempunyai masalah brek.
"Saya terpaksa menghentam penghadang tayar di litar untuk berhenti namun enjin masih berfungsi.
"Arini juga memakai jaring kepala keselamatan (safety net),"katanya menerusi media akhbar Singapura, The Straits Time.
#go-kart
;