WACT: Sah! Skuad hoki wanita negara ke separuh akhir, duduki kelompok empat pasukan teratas Asia
Muzaffar Musa
November 17, 2024 19:22 MYT
November 17, 2024 19:22 MYT
Skuad wanita negara sah layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita (WACT) 2024 selepas berada dalam kelompok empat teratas pusingan round robin.
Ini selepas kekalahan 0-2 Korea Selatan kepada China sebentar tadi menyaksikan kedudukan skuad negara tidak lagi dapat digugat untuk kekal berada dalam kelompok empat teratas.
Sebagai rekod hanya empat pasukan teratas pusingan roundrobin itu akan layak ke separuh akhir kejohanan di India berkenaan.
Terdahulu, pasukan bimbingan Nasihin Nubli itu menewaskan pasukan di tangga tercorot, Thailand, 2-0 dalam aksi terakhir pusingan roundrobin di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, Rajgir.
Dalam perlawanan itu, gol pukulan sudut penalti Nur Afiqah Syahzani Azhar meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-41 sebelum Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi menggandakan kelebihan itu menerusi gol padangnya pada minit ke-53.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga ketiga liga sepusingan berkenaan dan dijangka kekal dengan kedudukan itu memandangkan pasukan di tangga keempat, Jepun, kelihatan sukar untuk melakar kejutan ke atas pendahulu dan tuan rumah, India, dalam satu lagi perlawanan.
Seandainya kedudukan itu kekal, Malaysia akan bertemu pasukan di tempat kedua, China, bagi penentuan ke final pada Selasa ini.