Skuad hoki wanita negara menimba pengajaran terbaik ketika menamatkan kempen Trofi Juara-Juara Asia Wanita (WACT) di Rajgir, India dengan menduduki tempat keempat kesuluruhan.
Ia satu peningkatan yang baik memandangkan pasukan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda itu memperbaiki kedudukan tempat kelima tahun lalu.
Bekas pemain negara, Rodhanizam Mat Razi, menyifatkan kempen kali ini merupakan satu pembelajaran terbaik buat pasukan bimbingan Nasihin Nubli itu, yang akan beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Asia Remaja Wanita di Muscat, Oman awal bulan depan.
Rodhanizam juga berpendapat aspek pertahanan juga perlu menjadi fokus utama barisan kejurulatihan skuad negara memandangkan gawang negara dibolosi sebanyak 19 kali sepanjang di Rajgir.
"Kalau kita lihat, ramai daripada pasukan kita daripada pasukan remaja yang akan beraksi dalam Piala Remaja Asia nanti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Kita harapkan pemain dapat pengajaran yang berguna selepas beraksi menentang pasukan-pasukan yang kuat seperti China, Korea Selatan, Jepun dan India. Ia pengalaman yang berharga buat mereka.
"Jurulatih Nasihin pasti dapat lihat kesilapan dan kekurangan pemain di bahagian pertahanan sewaktu bertahan.
"Jadi selepas ini, semestinya jurulatih akan memperbaiki kesilapan-kesilapan itu," katanya.
Sebagai rekod, skuad negara menamatkan pusingan roundrobin di tempat ketiga dengan enam mata daripada lima perlawanan.
Bagaimanapun, Malaysia yewas 1-3 kepada China dalam separuh akhir sebelum tewas 1-4 kepada Jepun dalam penentuan tempat ketiga.
Muzaffar Musa
Thu Nov 21 2024