WACT: Malaysian Tigress tidak tertekan bawa misi gegar tembok China
Saufi Tahir
November 18, 2024 19:34 MYT
November 18, 2024 19:34 MYT
Menjelang saingan separuh akhir yang akan berlangsung pada Selasa, ketua jurulatih skuad hoki senior wanita negara, Nasihin Nubli, optimis dengan kemampuan anak buahnya yang rata-ratanya terdiri daripada 10 pemain junior untuk menampilkan persembahan berkualiti.
Malaysia Tigress akan berdepan cabaran China sekali lagi dalam kejohanan itu di pusingan kalah mati.
Untuk rekod, dalam pusingan round robin sebelum ini menyaksikan skuad wanita negara menjadi mangsa belasahan pemegang pingat Perak Sukan Olimpik Paris 2024 itu dengan keputusan 0-5.
"Kita telah perbaiki kedudukan sebelum ini, sekali gus ia akan memberikan motivasi buat pemain berdepan China yang merupakan pemegang pingat perak di Sukan Olimpik Paris.
"Saya rasa tekanan semestinya kepada pasukan China, kami akan berikan yang terbaik, untuk mencapai keputusan yang positif. Tiada apa yang hendak dirugikan." katanya kepada Nadi Arena.