Laluan skuad hoki wanita negara dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita (WACT) 2024 kian sukar tetapi masih ada harapan untuk ke suku akhir.
Ini selepas pasukan bimbingan Nasihin Nubli itu tewas tipis 1-2 kepada Jepun dalam aksi keempat pusingan roundrobin di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, Rajgir, sebentar tadi.
Dalam perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan padang Nur Iman Adawiyah Suhaimi pada minit ke-26.
Bagaimanapun, Jepun melakar kebangkitan dalam separuh masa kedua bermula dengan jaringan padang Shiho Kobayakawa pada minit ke-49, disusuli jaringan pukulan sudut penalti Muyu Hasegawa berselang dua minit.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kehilangan tempat keempat selepas Korea Selatan menewaskan pasukan di tangga terbawah, Thailand, 4-0 dalam satu lagi perlawanan.
Sebagai rekod, hanya empat pasukan teratas pusingan roundrobin akan layak ke separuh akhir.
Ini bermakna, skuad negara perlu menewaskan Thailand dalam aksi terakhir esok sambil berharap Korea Selatan tidak melakukan kejutan ke atas pasukan di tangga teratas, China, untuk kembali merampas kedudukan empat teratas.
Muzaffar Musa
Sat Nov 16 2024