SEPAK TAKRAW
VSL: Perebutan gelaran sepak takraw universiti bermula esok
Walaupun berdepan kekangan masa latihan, ia tidak menghalang pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) B menyasarkan kejuaraan kategori regu premier -- Grand Final Varsity Sepaktakraw League (VSL) 2023.
Ketua pasukan UPNM B, Muhammad Syazwan Aiman Sobri, berpendapat bahawa pasukannya tidak tertekan berikutan tiada sasaran ditetapkan, namun mereka berharap dapat menghadirkan sesuatu buat universitinya.
UPNM B dijadual bertemu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) A.
"Semua pasukan mahukan kejuaraan tapi dengan latihan diberikan jurulatih, kami akan berusaha mencapai sasaran ini.
"Sesetengah anggota skuad kami terdiri daripada pemain yang sedang mengikuti latihan industri.
"Namun, kami mampu membentuk semula keserasian dalam tempoh seminggu ini," kata Syazwan Aiman di Nadi Arena, sebentar tadi.
Dalam masa sama, UiTM B bertekad tidak mensia-siakan kelebihan tuan rumah untuk meraih kejuaraan dalam saingan beregu elit menentang Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) B.
"Sebagai tuan rumah kepada sirkit akhir ini, kami semestinya mahukan kejuaraan.
"Keserasian yang semakin baik mungkin menjadi kunci utama untuk kami memburu kejuaraan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai penyokong sendiri," kata ketua pasukan UiTM B, Muhammad Adib Mizan.