HOKI
Vikneswaran yakin tewaskan Presiden MPM, Megat D. Shahriman
Penyandang presiden, I. Vikneswaran, menegaskan bahawa dia tidak gentar menerima tentangan daripada mantan presiden merangkap Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur, esok.
Vikneswaran yang juga merupakan ketua jurulatih skuad hoki remaja negara percaya terhadap inisiatif yang telah diusahakannya sejak menduduki kerusi nombor satu badan induk pada 2022 - bakal dibalas untuk kekal bagi penggal kedua.
Menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Vikneswaran berkongsi keterujaannya untuk terus memperkasa ekosistem PHKL selain komited melunaskan visi dan misi yang sudah dirancang sehingga 2026.
Iklan
Vikneswaran bagaimanapun optimis meraih majoriti undian daripada 39 ahli gabungan berdasarkan pencapaian yang dilakar sepanjang dua tahun lalu.
"Terlalu banyak perkara yang kami akan lakukan kelak. Tetapi apa yang kami sudah lakukan.
"Paling penting, daripada segi kewangan, kami tidak berhutang dengan siapa-siapa.
"Sepanjang tempoh pengambilalihan, kami memastikan supaya tiada sebarang masalah kewangan, malah sudah membayar hutang kepada pihak terlibat.
"Sebanyak 35 program dijalankan termasuk Liga Hoki Kuala Lumpur. 2023 kami memenangi Piala Tun Abdul Razak sejak kali terakhir pada 2011. Pasukan lelaki dan perempuan pula menggondol pingat emas Sukan Malaysia (Sukma)
"Semua perkara tersebut berlaku di bawah penggal kami. Kami akan mengembalikan zaman kegemilangan hoki Kuala Lumpur termasuk sektor pembangunan," katanya di Nadi Arena.
Must-Watch Video