BERBASIKAL

(VIDEO) Azizulhasni beralih ke basikal lebuh raya? Yang penting solat jangan tinggal!

Muzaffar Musa 13/02/2025 | 08:24 MYT
Pelumba basikal trek legenda, Datuk Azizulhasni Awang, hari ini berkongsi hobi barunya berbasikal lebuhraya (road bike) dalam satu kiriman video di laman Facebook rasminya.
Umum mengetahui Olimpian negara itu sudah pun bersara daripada arena berbasikal trek usai Sukan Olimpik Paris 2024 tahun lalu.
Azizulhasni, dalam video berkenaan, berbasikal di sekitar kawasan Putrajaya untuk ke Masjid Putra bagi menunaikan solar fardhu Subuh tetapi sementara menunggu masuk waktu, dia melakukan solat sunat dan berbasikal di sekitar kawasan berkenaan.
"Tiba-tiba tubuh badan buat gila macam dulu-dulu pula. Jam 4.30 pagi dah terbuka cerah mata dan aktif semacam. Jadi jam 5.00 pagi pun saya pergi layankan hobi baru ini sekejap," katanya dalam kiriman itu.
"Akan tetapi yang paling penting sebenarnya adalah sebelum kita kejar yang dunia, kita kejar yang akhirat dahulu.
"Adalah elok untuk kita mengerjakan ibadah sunah dahulu sebelum keluar dan selepas selesai keluarkan peluh kita pun pergi solat subuh berjemaah di surau atau masjid berdekatan.
"Selari dengan panggilan azan. Marilah mendirikan solat. Marilah mengejar kejayaan."
Video:
#Azizulhasni Awang #Berbasikal #Berbasikal trek #Berbasikal Lebuh Raya
;