Skip to main content

Hoki

Van Huizen yakin prestasi skuad negara akan terus meningkat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

621vanhuizen.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen van Huizen, menyifatkan anak buahnya berada dalam prestasi terbaik selepas membelasah China 5-1 untuk menamatkan cabaran Kumpulan A di tangga ketiga dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London.

Malaysia cukup tajam ketika beraksi di Stadium Hoki Lee Valley awal pagi tadi apabila semua peluang digunakan sebaik mungkin sehingga berjaya mendahului 4-0 dalam separuh masa pertama.

Ia membuktikan skuad di ranking ke-14 dunia itu sudah mencapai tahap terbaik, sekali gus menjadi petanda positif menjelang suku akhir menentang India, esok.

"Saya harap kami lebih bersedia untuk perlawanan yang lebih sukar. Seperti yang saya cakap, India adalah pasukan pilihan selepas melihat cara mereka bermain dalam Piala Sultan Azlan Shah.

"Kami perlu memastikan semua berada dalam keadaan betul, pertahanan kami kukuh, penyerang mencari peluang, penjaga gol beraksi kental. Semuanya kena betul jika kami mahu mengecewakan India nanti," kata Van Huizen.

Gol pertama Malaysia dijaringkan penyerang, Faizal Saari, seawal minit kedua dan digandakan pemain pertahanan, Najmi Farizal Jazlan, sepuluh minit kemudian.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim, menyumbang dua gol pada minit ke-20 dan 27 manakala China bangkit menerusi jaringan pemain pertahanan, Du Talake, pada minit ke-43.

Namun, pemain tengah, Fitri Saari, memusnahkan sisa kebangkitan China pada minit ke-51.

"Malaysia beraksi cemerlang. Banyak gerakan kami tidak menjadi, ditambah pula dengan kecederaan pakar pukulan sudut penalti kami. Jadi, banyak peluang gagal disempurnakan," kata jurulatih China, Cui YingBiao.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengisi tangga ketiga Kumpulan A dengan enam mata, empat mata di belakang pendahulu, Argentina dan England.

Dalam aksi suku akhir esok, Argentina akan menentang Pakistan, Belanda menentang China, England bertemu Kanada selain Malaysia menentang India.
 

Advertisement

Must Watch Video