Walau sudah memegang gelaran 'lejen' dalam dunia MotoGP, nampaknya sukan permotoran dan perlumbaan takkan mampu keluar dari jiwa Valentino Rossi sampai bila-bila.
Terbaharu juara dunia tujuh kali itu sudah membuat kepastian akan menyertai perlumbaan endurance 24 jam terkemuka dunia iaitu Le Mans pada Jun depan.
Menurut media antarabangsa, Rossi, 45, akan menggunakan jentera yang digunakanya dalam siri Kejuaraan Dunia (WEC) iaitu BMW GT3 WRT pada perlumbaan tersebut nanti.
Jelas Rossi, Le Mans merupakan antara objektif utamanya untuk disertai sejurus selepas membuat keputusan untuk bersara dari dunia MotoGP pada 2021 yang lalu.
Baginya, perlumbaan di Le Mans seperti satu penghormatan buat dirinya selaku individu yang terlibat dalam dunia perlumbaan memandangkan ia adalah perlumbaan tersohor dan berprestij sejak sekian lama.
Bahkan Rossi juga sememangnya memiliki pengalaman memandu di litar tersebut tahun lalu di mana beliau mengakui masih merasai kehebatan dan keterujaan berlainan litar tersebut.
Beliau turut menyifatkan bahawa untuk melakarkan kemenangan di litar tersebut tidaklah mudah dan ia memerlukan kesempurnaan dalam setiap sudut jika mahu merealisasikanya.
Raja Zaid
Mon May 13 2024