SUKAN LAIN
Usul undi tidak percaya kepada presiden MASCA
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Polo Kanu, Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Liang Song Peng, menegaskan usul undi tidak percaya kepada presiden badan induk itu terpaksa dilakukan demi menyelamatkan atlet yang digugurkan daripada senarai ke Sukan SEA Filipina, November depan.
Sembilan daripada 13 ahli jawatankuasa eksekutif MASCA menandatangani usul undi tidak percaya kepada Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.
Tindakan itu ekoran hilang kepercayaan terhadap Megat Shahriman atas beberapa faktor, terutama apabila hanya seorang atlet kayak tersenarai ke Filipina.
Ia tamparan hebat kepada 32 atlet kanu dan perahu naga yang berlatih sejak tahun lalu.
"Kami terpaksa melakukannya," kata Song Peng.
"Kami telah lama membuat persiapan latihan menghadapi Sukan SEA dan memiliki sasaran mencipta kejayaan di Manila nanti," kata exco MASCA, Syazwan Kenny.
Sembilan daripada 13 exco MASCA bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini untuk meluluskan usul undi tidak percaya kepada Megat Shahriman.
Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong, berkata, "Jika mengikut perlembagaan, kami sudah boleh melakukan Kongres Luar Biasa (EGM), namun mesyuarat tergempar exco ialah untuk menjawab beberapa persoalan daripada Megat dan kami juga menjawab persoalan daripada beliau."
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, berharap MASCA dapat menyelesaikan masalah dalaman badan induk itu secepat mungkin supaya tidak menjejaskan persiapan atlet ke Manila 2019 yang akan berlangsung kurang dari tiga bulan lagi.
"Saya berharap mereka akan dapat berbincang bagi menyelesaikan isu dalaman. Saya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan sekali lagi untuk membincangkan perkara-perkara yang masih tertunggak," katanya.