SUKAN LAIN
Usah biarkan kami tanggung malu, kata Zamri
Pelumba berpengalaman negara, Zamri Salleh, sekali lagi menyuarakan kekecewaan berhubung kegagalan penganjur Jelajah Malaysia 2017 untuk melunaskan wang kemenangan seperti yang dijanjikan.
Ketika beberapa pasukan tempatan sedang membina reputasi di luar negara, kisah buruk membabitkan penganjur perlumbaan di Malaysia lebih mendapat perhatian.
Secara tidak langsung, Zamri yang mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berpandangan perkara itu telah memberikan gambaran negatif berikutan pasukan luar negara kerap bertanyakan kepada mereka mengenai wang kemenangan yang tertunggak.
Iklan
"Kami berkawan dengan pelumba luar dan akan terserempak dengan mereka ketika mengikuti pertandingan di luar negara.
"Apabila mereka bertanyakan mengenai wang kemenangan, ia menjadikan saya segan untuk berkawan dengan mereka," kata Zamri.
Antara syarat yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), penganjur perlu membayar wang kemenangan selewat-lewatnya tiga bulan selepas perlumbaan berakhir.
Bagaimanapun, ia gagal ditepati Life Pro Fit Sdn. Bhd. yang diberi hak penganjuran Jelajah Malaysia 2017.
Malah, syarikat itu juga gagal melunaskan pembayaran wang kemenangan bagi perlumbaan Jelajah Selangor 2017.
"Baru-baru ini pun sudah ada pihak yang bersuara.
"Pihak penganjur berjanji untuk menyelesaikannya dalam tempoh tiga bulan tetapi kini sudah melewati tempoh yang dijanjikan.
"Kita tunggu dan lihatlah situasi seterusnya nanti," tambahnya.
Must-Watch Video