Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencipta kejayaan bersejarah apabila buat julung kalinya melangkah ke perlawanan akhir Piala TNB sejak penubuhan kelab itu pada tahun 2009.
Ia merupakan pentas final pertama mereka dalam saingan Liga Hoki Malaysia sejak mula menyertainya sembilan tahun lalu.
Lebih manis, mereka menundukkan kuasa besar kelab hoki tempatan, Terengganu Hockey Team (THT), dengan keputusan aggregat 6-3 dalam aksi yang penuh mendebarkan, semalam.
Peggendali, Arul Selvaraj, bijak menggunakan faktor kepenatan pemain lawan di samping merencanakan strategi bertahan untuk mengekang asakan penyerang pasukan THT.
"Saya rasa kejayaan ini harus diberikan kepada seluruh pasukan UniKL kerana mereka telah menunggu tempoh yang amat lama, termasuk program pembangunan pemain yang dilakukan.
"Diharapkan kami mampu meraih kejayaan untuk dibawa ke stadium baru di Bangi pada tahun depan," katanya.
Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir juga boleh disifatkan sebagai pengubat duka buat penjaga gol, David Harte, yang gagal meraih anugerah penjaga gol terbaik dunia buat kali ketiga berturut-turut ketika majlis anugerah Bintang Hoki Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2017 di Berlin, Jerman.
UniKL bakal berdepan naib juara tahun lalu, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), yang sebelum itu menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"Sudah tentu saya kecewa tetapi dalam masa sama berbangga apabila disenaraikan dalam kelompok tiga terbaik selama tiga tahun berturut-turut.
"Kejayaan pada hari ini diharapkan mampu memberikan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini," ujar Harte.
Penulis Jemputan
Thu Feb 08 2018