Skip to main content

Sukan Lain

TVET Sukan: Membangun generasi pakar industri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

whatsapp-image-2025-03-13-at-7-55-26-pm.jpeg
Program TVET (Technical and Vocational Education and Training) dalam bidang sukan tidak boleh dipandang sebelah mata kerana ia memainkan peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri sukan.

Sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi atau pertandingan, tetapi juga satu industri besar yang merangkumi aspek kejurulatihan, sains sukan, pengurusan fasiliti, serta teknologi sukan. Oleh itu, TVET Sukan harus diperkasakan agar dapat melahirkan tenaga kerja berkualiti yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
 
Salah satu kelebihan utama TVET Sukan ialah ia menyediakan laluan pendidikan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada bidang kemahiran berbanding akademik. Melalui program ini, pelajar boleh memperoleh kemahiran khusus seperti fisioterapi sukan, kejurulatihan, kecergasan, serta pengurusan acara sukan. Ini membolehkan mereka memperoleh pekerjaan dalam industri sukan yang semakin berkembang, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
 
Selain itu, TVET Sukan juga berpotensi untuk memperkasa industri peralatan dan teknologi sukan tempatan. Dengan adanya tenaga kerja mahir, Malaysia dapat menghasilkan peralatan sukan berkualiti tinggi seperti pakaian sukan pintar, sensor kecergasan, dan alat bantu latihan. Ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap produk import, malah dapat membuka peluang eksport ke pasaran antarabangsa, sekali gus menjana pendapatan negara.
 
Industri sukan juga berpotensi untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang kecergasan dan kesihatan sukan. Graduan TVET Sukan boleh menceburkan diri dalam keusahawanan sukan seperti membuka gimnasium, akademi sukan, perniagaan pakaian sukan, atau menawarkan perkhidmatan fisioterapi dan latihan peribadi. Dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat, permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan sukan dan kecergasan semakin meningkat, yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
 
Tambahan pula, TVET Sukan boleh menyokong pembangunan sektor pelancongan sukan di Malaysia. Negara ini memiliki pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa serta lokasi strategik untuk sukan rekreasi seperti menyelam, mendaki, dan sukan ekstrem. Dengan adanya tenaga kerja mahir dalam pengurusan dan penganjuran acara sukan, Malaysia boleh menarik lebih ramai pelancong sukan dari dalam dan luar negara, sekaligus meningkatkan pendapatan negara melalui sektor pelancongan.
 
Bagi memastikan TVET Sukan terus relevan dan berdaya saing, langkah-langkah strategik perlu diambil seperti memperkenalkan kursus yang selaras dengan keperluan industri, menjalinkan kerjasama dengan institusi sukan profesional, serta menawarkan pensijilan bertaraf antarabangsa. Selain itu, penggunaan teknologi moden dalam pembelajaran seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) juga boleh membantu meningkatkan keberkesanan latihan.
 
Tuntasnya, TVET Sukan juga menggalakkan keusahawanan iaitu melahirkan job creator berbanding job seeker dengan membuka peluang kepada individu untuk menjalankan perniagaan dalam bidang sukan seperti pemilikan gimnasium, studio kecergasan, spa terapi dan penghasilan produk sukan tempatan, yang mampu menjana pendapatan serta mencipta peluang pekerjaan baharu. Inovasi dalam teknologi sukan yang dihasilkan melalui tenaga pakar TVET juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada produk import dan membuka peluang eksport ke pasaran global.
 
 
Secara keseluruhannya, TVET Sukan bukan sekadar platform pendidikan, tetapi juga pemangkin utama dalam menjana ekonomi negara. Dengan strategi yang betul dan sokongan padu daripada kerajaan serta pihak industri, Malaysia mampu menjadi hab sukan dan kecergasan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dalam sektor ini.
 
Penulis bersama
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip  (Pensyarah Sains Sukan UTM JB)
Dr Mohd Shariman Shafie ( Pensyarah Sains Sukan UiTM Seremban )    
Dr Fakhrizal Azmy Nasruddin ( Penganalisis Sukan Summit Features Sdn Bhd )        

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video