SUKAN SEA

Tujuh pemain remaja taruhan Tracey

Penulis Jemputan 20/08/2019 | 09:10 MYT
Kehadiran tujuh pemain daripada skuad remaja yang menjuarai Kejohanan Remaja Asia bulan lalu meyakinkan ketua jurulatih skuad bola jaring negara, Tracey Robinson, untuk mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan.
Ia merupakan tugas penting buat jurulatih dari Australia itu selepas kembali diberikan kepercayaan untuk membimbing skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA.
Baginya, gabungan tenaga muda dan berpengalaman mampu mencetus kualiti permainan yang lebih mantap untuk mengulangi kejayaan yang diraih di laman sendiri dua tahun lalu.
"Kami mempunyai skuad dengan 15 pemain dan ia akan dikecilkan kepada 12 pemain apabila menghampiri Sukan SEA.
"Saya amat berpuas hati dengan persaingan dalam pasukan kerana enam atau tujuh daripada mereka telah menyertai Kejohanan Remaja Asia dan menjuarainya.
"Jadi, mereka akan berada dalam pasukan kami untuk sepanjang tahun ini.
"Ia bermakna kami mempunyai pembangunan sukan yang baik kerana memiliki pemain muda yang menyertai kami," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan negara, Zainon Md Noh, mengakui peningkatan prestasi skuad negara sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, dia menegaskan pasukannya perlu berwaspada dengan cabaran daripada Singapura dan Thailand dalam temasya itu.
"Kami (kena) yakinlah untuk Malaysia.
"Kami kena yakin yang kami akan dapat emas.
"Melihat kepada prestasi pemain dan jurulatih Tracey, saya yakin bola jaring boleh mendapatkan emas," katanya.
;