Dengan kombinasi pelumba muda versatil, Hayden Haikal, dan pemandu berpengalaman dari Australia, Peter Hackett, maka muncul pasukan Racing Aurora yang baru setahun dibentuk.

Biarpun masih segar dalam Perlumbaan GT4 TSS Super Series, ia bukanlah calang-calang pasukan, di mana mereka turut memiliki mekanik dari Thailand yang berkemahiran serta menerapkan konsep kebersamaan yang tinggi

Di sebalik segala kisah itu, wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, menemubual ketua pegawai eksekutif, yang merupakan tulang belakang pasukan itu, Sanjay Pattis.

"Pasukan ini ditubuhkan demi memberikan pelumba muda peluang untuk menyerlah dalam karier mereka.

"Saya dapat lihat bahawa Malaysia Super Series merupakan siri yang baik dengan ramai pelumba berbakat.

"Pelumba kami, Hayden Haikal, datang dari siri itu dan apa yang kami mahu lakukan adalah menubuhkan Racing Aurora agar kami dapat memberikan mereka peluang.

"Hayden masih muda, dia baru 20 tahun dan kali pertama beraksi dengan jentera GT. Peter pula pemandu yang amat berpengalaman dan pernah memenangi Kejohanan GT di Australia.

"Dengan pelumba pantas, bakat baru yang segar seperti Hayden, untuk digandingkan bersama seseorang seperti Peter, kami memiliki kombinasi pemandu yang amat-amat bagus," katanya.