Trofi Juara-Juara Asia Wanita: Malaysia senarai 10 pemain remaja

Muzaffar Musa
November 5, 2024 14:35 MYT
Menjelang Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2024 di Bihar bermula pada Isnin depan, Malaysian Tigress bakal mempertaruhkan 10 pemain daripada skuad remaja, yang akan turut beraksi di kejohanan Piala Remaja Asia 2024 depan.
Menerusi senarai barisan 20 pemain yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), empat pemain, iaitu Zawiatul Akma Hartomo (pertahanan), Nur Aisyah Che Musa (tengah), Nurathirah Fitriah Syamsul Adzuanizam (penyerang) dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (penyerang), bakal meraih penampilan antarabangsa pertama mereka sekiranya diturunkan dalam kejohanan itu.
Siri latihan bersama skuad kebangsaan Wales pada 28 Julai hingga 11 Ogos lalu antara persiapan yang dilakukan Malaysian Tigress menuju ke itu dan Pengurus Pasukan Wanita Kebangsaan, Rogayah Mohamad, menuntut setiap daripada pemain untuk memberikan persembahan terbaik mereka dalam semua perlawanan yang dilalui serta turun beraksi dengan jiwa berjuang untuk negara.
“Setiap pasukan yang turun dalam apa-apa kejohanan mahukan pasukan mereka meraih kemenangan tetapi kami bersikap realistik, di mana kejohanan ini menampilkan pasukan-pasukan gergasi Asia. Bagaimanapun kami mahukan setiap pemain melakukan sehabis baik yang mereka mampu ketika beraksi.
“Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2023 ketika di Ranchi, kami mengikat Korea 1-1 dan tidak mustahil jika pemain turun dengan semangat dan jiwa yang besar, mereka mampu untuk melakukan kejutan.
"Namun pasukan juga akan terus berwaspada dengan pasukan seperti Thailand, yang pastinya akan memberikan tentangan kepada kami,” katanya.
Walaupun skuad negara terpaksa melupakan khidmat empat pemain utama yang berpengalaman, iaitu Hanis Nadiah Onn, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor dan Siti Zulaikha Husain, gara-gara kecederaan, ketua jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, melihat ia sebagai peluang terbaik untuk pemain muda dan pemain baru menyerlahkan kemampuan mereka beraksi di pentas antarabangsa.
“Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama, termasuk mereka yang pernah beraksi dalam edisi lalu, saya percaya 20 pemain yang dipilih ini akan memberikan persembahan terbaik mereka selain saya yakin, pemain senior yang sedia ada akan membantu pemain-pemain lain untuk lebih menyerlah di peringkat antarabangsa.
“Permainan hoki moden sudah berubah dan perlawanan menjadi semakin pantas. Saya yakin gabungan pemain muda serta pemain senior yang mempunyai kemahiran hoki yang baik bakal menjadi ramuan terbaik pasukan dalam memberikan tentangan kepada lawan kami nanti.
"Aksi pertama menentang India juga adalah cabaran yang baik untuk kami kerana bertemu dengan pasukan seperti India pastinya membuka ruang kepada semua pemain untuk mereka pamerkan tahap kebolehan sebenar mereka.
“Aksi pertama itu juga akan kami jadikan sebagai kayu pengukur kekuatan sebenar pasukan bagi kami barisan kejurulatihan membuat analisa tentang kebolehan setiap pemain dan bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
#Hoki Wanita #Trofi Juara-Juara Asia Wanita
;